Saturday, May 7, 2011

Peluang melabur EMAS - terbuka luas bersama RHB Islamic Bank

RHB Islamic sasar RM20 juta

KOTA BHARU 28 April - RHB Islamic Bank yakin produk pembiayaan pajak gadai Islamnya atau Ar-Rahnu mampu mencatatkan jumlah transaksi sehingga RM20 juta pada akhir tahun ini, selepas lapan bulan dilancarkan.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusannya, Abd. Rani Lebai Jaafar berkata, perkhidmatan Ar-Rahnu yang dimulakan di cawangan RHB Islamic Bank Kubang Kerian di sini, berpotensi besar untuk dikembangkan berikutan minat tinggi masyarakat tempatan menyimpan barangan kemas.

Beliau berkata, jumlah golongan yang bekerja sendiri, peniaga kecil dan usahawan wanita yang ramai di negeri ini juga menjadi faktor kepada produk ini diperkenalkan di sini bagi membolehkan mereka mendapatkan pembiayaan alternatif dan modal.

Katanya, pajak gadai Ar-Rahnu itu akan diperluaskan ke cawangan lain dengan sasaran awal ialah Kuala Terengganu, Terengganu; Bangi, Selangor dan Kuching, Sarawak.

"Kelantan dipilih sebagai tapak awal produk Ar-Rahnu kami kerana melihat kepada minat mendalam masyarakat negeri ini terutama golongan wanita yang gemar menyimpan barang kemas.

"Pembiayaan Ar-Rahnu kami memberi peluang kepada mereka yang kesempitan untuk mendapatkan keperluan tunai dan juga modal perniagaan dengan pembiayaan sekurang-kurangnya RM100 sehingga RM50,000.

"Produk ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas dengan tempoh gadaian antara enam bulan sehingga setahun," katanya selepas Majlis Pelancaran Produk Pembiayaan Pajak Gadai Islam (Ar-Rahnu) dan Fiesta Perbankan Islam 2011 bank itu di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Perbankan Transaksi RHB Islamic Bank, Tengku Panglima Raja Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz; Pengarah Wilayah Timur Kumpulan Perbankan RHB, Nazri Othman; Ketua Perbankan Runcit RHB Islamic Bank, Zulkahairi Zabiri dan Pengurus RHB Islamic Bank Kubang Kerian, Norliza Abdul Shukor.

Abd. Rani berkata, urus niaga pajak gadai Islam itu akan menggunakan empat jenis konsep syariah iaitu Qardhul Hasan, Ar-Rahnu, Wadiah Yad Dhomanah serta Al-Ujrah dan mereka menerima emas jenis 999, 950, 916, 875, 835 dan 750 untuk digadai.

Jelasnya, RHB Islamic Bank sehingga kini mempunyai 12 cawangan di seluruh negara dengan lebih 250,000 pelanggan dan perkhidmatan perbankan berasaskan syariah itu turut disokong oleh 196 cawangan konvensional Kumpulan Perbankan RHB lain.

Beliau berkata, RHB Islamic Bank mengunjurkan penambahan cawangan-cawangan bank itu di negeri yang belum ditembusi seperti Kedah, Melaka, Perlis dan Pahang.

Sumber: Utusan Malaysia 29 April 2011

3 comments:

  1. terima kasih for the vy gud info...n make awrae with high return investment...gud site...

    ReplyDelete
  2. jottings for sharing...thanks for ur view..

    ReplyDelete
  3. my jottings purposely for sharing..thank u for being here...

    ReplyDelete